BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 6 April 2011

Majlis Tahlil?boleh ke x boleh?

TAHLIL : PERKARA KHILAFIYYAH YANG DIPERDEBATKAN
Dalam bahasa arab, Tahlil bermaksud menyebut kalimah “syahadah” iaitu “La ilaha illa Allah”. Definisi ini dinyatakan oleh Al-Lais dalam kitab “Lisan Al-Arab”. Dalam kitab yang sama, Az-Zuhri menyatakan, maksud tahlil adalah meninggikan suara ketika menyebut kalimah syahadah[1].
Adapun makna tahlil mengikut pandangan masyarakat melayu adalah “amalan menyebut kalimah syahadah. Ianya di lakukan sebelum dari berdoa, dan kebiasaannya diamalkan selepas dari kematian atau untuk kesyukuran”
Amalan tahlil arwah dan kesyukuran ini sering didebatkan secara ilmiyyah. Perdebatan ini bukan sekadar berlaku dikalangan manusia biasa, bahkan ianya didebatkan dikalangan ilmuan-ilmuan Islam.
Walaubagaimanapun, tulisan ringkas ini bukanlah untuk membela atau menghentam amalan yang diamalkan dikalangan masyarakat melayu ini. Tetapi ianya sekadar ulasan yang menggambarkan perkara perdebatan yang ianya adalah amalan yang masih dibawah ketagori khilafiyyah dikalangan ulama.
NABI TAK BUAT !!
Amalan tahlil arwah dan kesyukuran sering diperdebatkan oleh sebilangan golongan yang mendakwa salafi atau wahabi. Golongan ini mendakwa, amalan tahlil adalah amalan yang tidak pernah di lakukan oleh Rasulullah SAW, Sahabat-sahabat, tabiin, tabii tabiin dan sebagainya.
Memang tidak dinafikan, amalan tahlil arwah dan kesyukuran tidak pernah diamalkan Rasulullah SAW dan golongan salaf soleh, tetapi ianya tidak lepas dari perkara khilafiyyah dikalangan ulama dalam beristidlal atas keharusan mengamalkannya.
Melihat dengan alasan bahawa sesuatu amalan itu tidak boleh dilakuakan bersebabkan amalan itu tidak diamalkan oleh Rasulullah, maka jawapannya adalah, tidak semua amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai amalan yang tidak boleh dilakukan.
Ini kerana, alasan yang menyatakan tidak boleh diamalkan sesuatu amalan yang tidak di amalkan oleh Rasulullah SAW adalah bersumberkan kepada hadis nabi SAW;
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya;
“Barangsiapa yang beramal sesuatu amalan yang bukan atasNYA dari urusan kami, maka amalan itu tertolak[2]”
Menurut Muhammad Syams Al-Haq al-‘Azim Al-Abadi didalam kitabnya “Aun Al-Ma’bud”, maksud dengan “sesuatu amalan yang bukan atasNYA dari urusan kami” adalah sesuatu amalan yang tidak disandarkan kepada kitab (al-Quran) dan As-Sunnah, samada berbentuk ZAHIR atau BATIN[3].
Maka dengan demikianlah, difahami disana ada sesuatu yang jelas dinyatakan berbentuk perbuatan, perkataan dan taqrir nabi secara zahir, tetapi disana terdapat juga pengambilan hukum secara batin, atau dikenali sebagai istinbat hukum dari Nas.
Didalam pengajian Ilmu usul Fiqh, sesuatu nas itu diistinbatkan hukum dengan beberapa cara, samada dengan Ibarat an-nas, isyarat an-nas, dilalat an-nas atau iqtida’ an-nas[4]. Maka dengan demikian, dengan beberapa kaedah pengistinbatan hukum inilah dinamakan sebagai sandaran kepada Al-Quran atau hadis secara BATIN.
Oleh itu, sesuatu amalan yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW, maka tidak semestinya amalan itu dikira sebagai amalan yang ditolak, bahkan kadangkala sesuatu perkataan, perbuatan atau taqrir nabi itu tidak dilakukan secara zahir, tetapi dapat difahami secara istinbat atas keizinan melakukan amalan tersebut.
Perkara ini berlaku adalah kerana, Baginda SAW merupakan seorang Nabi yang bercakap dengan kalam yang mempunyai banyak tafsiran, walaupun kadangkala, ianya adalah sekadar 5 kalimah sahaja.
Ini dapat dibuktikan dengan berlakunya pembukuan Al-Quran, membina madrasah, mengarang kitab dan sebagainya, walaupun perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam perhatian Nabi SAW.
Kemungkinan sebilangan manusia menganggap, amalan itu adalah amalan sahabat-sahabat Baginda SAW yang amalan mereka di iktiraf oleh Nabi SAW dalam satu hadis;
وستفترق هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة قالوا وما هم يا رسول الله قال من كان على ما أنا عليه وأصحابي
Maksudnya;
“lagi akan berpecah ini umat kepada 73 puak, semuanya dalam neraka melainkan satu. Sahabat berkata; siapakah mereka Wahai Rasulullah SAW? bersabda Nabi SAW ; mereka yang atas jalanku dan sahabat-sahabatku[5]”
Dari hadis ini, mereka akan mendakwa bahawa amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, tetapi di amalkan juga oleh sahabat dikira sebagai amalan yang dibenarkan, disebabkan sandaran kepada hadis ini.
Diperhatikan balik, sahabat-sahabat adalah dikira sebagai mujtahid mustaqil, atau dinamakan juga dengan gelaran “Tabqah Al-Mujtahidin fi As-Syara’”. Maksud dengan mujtahid mustaqil adalah;
وهوالذي استقل بوضع قواعده لنفسه، يبني عليها الفقه
Maksudnya;
“ia adalah orang yang bersendiri dengan meletakan kaedah-kaedahnya bagi dirinya dan terbina fiqh daripadanya[6]”
Perkara ini diakui sendiri oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya “Fatawa Maasirah”, serta menamakan sebilangan mujtahid-mujtahid dikalangan sahabat, seperti Abu Bakar As-Siddiq, Omar Al-Khattab, Ibnu Omar dan sebagainya[7].
Maka dengan demikian, amalan yang dilakukan oleh sahabat merupakan satu isyarat yang perlu dipelajari, bahawa di sana terdapat kaedah-kaedah istinbat yang dilakukan oleh sahabat. Maka dengan sebab itulah, maksud hadis ini adalah, hendaklah kita mengikut kaedah-kaedah istinbat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW serta kaedah-kaedah pengistinbatan hukum yang dilakukan sahabat-sahabat Rasulullah SAW
Maka dari ini, difahami bahawa, tidak semua amalan yang tidak dilakukan oleh rasulullah SAW sebagai di tolak, tetapi yang dimaksudkan dengan amalan yang ditolak adalah amalan yang yang bercanggah dengan sandaran penghujahan Nas, samada secara zahir atau secara batin.
DOA TIDAK SAMPAI KEPADA SI MATI
Sebilangan penganalisa fiqh menyatakan, doa kepada si mati tidak sampai dengan beberapa alasan. Antara alasannya adalah, bersandarkan kepada hadis Nabi SAW;
إذا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ إلا من ثَلَاثَةٍ إلا من صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أو عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أو وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو له
Maksudnya;
“apabila seorang insan, maka terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga, iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya[8]”
Maka dari hadis ini, Baginda SAW menyatakan bahawa, doa yang sampai kepada si mati adalah doa yang dilakukan oleh anak si mati sahaja, tidak orang lain, disebabkan hadis ini dengan jelas menyatakan demikian.
Persoalannya adalah, adakah doa orang yang tidak terlibat hubungan dengan si mati, apabila mereka berdoa, doa mereka tidak diterima oleh Allah?
Jika diperhatikan kepada hadis-hadis yang lain, didapati Baginda SAW pernah mengajar doa-doa yang perlu dibaca untuk si mati.
Antara doa-doanya adalah;
عن عوف بن مالك أنه قال صلى النبي (ص) على جنازة فسمعته يقول اللهم اغفر له وارحمه واعف عنه
Maksudnya;
“Daripada Auf bin Malik, sesungguhnya dia berkata; Nabi SAW telah menunaikan solat atas satu jenazah, aku mendengar Baginda SAW berkata; Ya Allah!! ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkan dia ………..[9]”
Dari hadis ini dapat di istinbatkan bahawa, doa kepada si mati ini sabit dari hadis baginda SAW. maka dengan demikian, dakwaan yang mengatakan doa kepada si mati tidak sampai, maka itu merupakan tindakan melihat kepada zahir nas, tanpa dilihat dari sudut batin nas.
MENGAPA TIDAK TERUS BERDOA SAHAJA?
Ada juga sebilangan manusia yang mendakwa, jika demikian, mengapa perlu mengucapkan tahlil dahulu, kenapa tidak terus berdoa sahaja.
Dalam kitab “At-Tawassul” karangan As-Syaikh Albani menyatakan, bertawassul yang diizinkan dalam syarak adalah tawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah, tawassul dengan amalan soleh dan tawassul dengan doa orang yang soleh (yang masih hidup)[10].
Daripada tawassul-tawassul yang dinyatakan ini, antara tawassul yang disyariatkan berdasarkan kepada pendapat Albani adalah tawassul dengan amalan soleh.
Amalan tawassul dengan amalan soleh ini adalah disandarkan kepada hadis yang panjang, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lainnya, daripada Abdullah bin Omar berkata, bahawa Aku dengar Rasulullah SAW bersabda;
انطلق ثلاثة رهط ممن كان قبلكم حتى آواهم المبيت إلى غار فدخلوه ، فانحدرت صخرة من الجبل ، فسدت عليهم الغار ………………… فانفرجت الصخرة فخرجوا من الغار يمشون
Maksudnya;
“tiga orang sebelum dari kamu telah masuk dalam satu gua dan bermalam dalamnya, lalu telah jatuhlah sebiji batu besar daripada bukit, maka tertutuplah pintu gua tersebut ……………….. … lalu memacar keluarlah batu itu, lalu mereka berjalan keluar daripada gua tersebut[11]
Jika dilihat kandungan hadis ini adalah, berkenaan dengan tiga orang lelaki yang telah terperangkap didalam gua. Lalu, untuk membuka pintu gua yang tertutup dengan batu besar itu, maka mereka berdoa dengan Allah SAW disamping bertawassul dengan amalan soleh yang mereka telah lakukan. Apabila selesai tiga orang itu menceritakan amalan baik mereka sebagai tawassul dengan amalan soleh mereka yang disertai doa, maka pintu gua yang tertutup itu telah terbuka dengan berkat doa mereka yang disertai tawassul amalan soleh mereka itu.
Sesungguhnya antara amalan soleh yang dii’tiraf oleh Islam adalah mengucapkan kalimah syahadah, atau dinamakan sebagai tahlil.
Didalam hadis, Nabi SAW pernah menyatakan;
يخرج من النار من قال لا اله الا الله
Maksudnya;
“orang yang menyebut “la ilaha illa Allah” akan dikeluarkan daripada neraka[12]”
Hadis ini menyatakan tentang keselamatan mereka menyebut kalimah syahadah dengan diselamatkan mereka dari api neraka. Dengan jaminan ini menandakan bahawa, menyebut kalimah syahadah ini merupakan amalan soleh yang dii’tiraf oleh Allah SWT.
Maka dengan demikian, apabila seseorang yang mengadakan tahlil arwah, mereka berzikir dengan mengalunkan kalimah syahadah terlebih dahulu, kemudian mereka berdoa, maka amalan itu tidak bercanggah dengan syarak, disebabkan bertahlil itu sebagai cara bertawassul kepada Allah untuk memustajabkan doa yang hendak ditujukan kepada si Mati.
PENUTUP
Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk mempertahankan amalan tahlil arwah, tetapi ianya lebih kepada menyatakan bahawa, amalan ini masih lagi dalam perkara khilafiyyah dikalangan ulama.
Segala ulasan ini bukanlah bermakna ianya adalah sesuatu yang qatii, tetapi ianya adalah perkara ijtihadiyyah yang tidak lepas dari berlaku khilafiyyah.
Mungkin ada pertanyaan, sekiranya tulisan ini untuk menyatakan perkara khilafiyyah dalam amalan tahlil arwah, mengapa ianya tidak disertakan juga hujjah-hujjah mereka yang mengatakan larangan bertahlil arwah. Jawapannya adalah, disebabkan di dunia alam maya ini, sudah ramai yang berhujjah atas larangan, maka kali ini, tulisan ini sekadar menyatakan pandangan golongan yang menyatakan ianya adalah amalan yang dibenarkan oleh syarak.
Dalam menghadapi perkara khilafiyyah ini, tidak perlu kita “berkepala batu”, seperti yang dilakukan oleh sebilangan puak dan golongan. apa guna kita “berkepala batu” perkara khilafiyyah, tetapi dalam masa yang sama, serangan musuh-musuh Islam kepada kita tidak berkesudahan. Agama Islam menjadi agama yang dihina oleh musuh-musuh Islam.
Perkara yang paling perlu “dikepala batukan” adalah dalam perkara yang bersangkut dengan perkara yang disepakati oleh ulama, seperti perlaksaan undang-undang islam didalam sesebuah Negara, isu murtad, syirik dari sudut uluhiyyah dan rububiyyah dan sebagainya.
Mudah-mudahan semuanya mendapat keberkatan disisi Allah dan tidak putus-putus untuk mengharapkan kemenangan islam sehinggakan Islam menjadi agama yang memerintah bukan diperintah.
Sekian....

0 comments: